BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sambutan Maulidur Rasul 1434H

Sunday, November 29, 2009

Hikmah Ibadah Korban

Sesungguhnya ibadah korban disyariatkan oleh agama Islam bermula pada tahun kedua hijrah dan korban yang hanya dibolehkan ialah binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau, kibasy dan kambing.

Islam mensyariatkan ibadah korban itu sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala, sebagaimana yang sering kita ikrarkan dalam sembahyang : "Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk berbakti kepada Allah Subhanahu Wata'ala". Ibadah korban juga adalah sebagai melahirkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala di atas segala nikmat dan rezeki yang telah diberikan-Nya. Di antara hikmat dari pensyariatan ibadah korban itu ialah :

Pertama : Untuk mengekalkan ingatan kita kepada kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam yang sanggup menyembelih puteranya Nabi Ismail Alaihissalam sebagai korban, akan tetapi Allah menggantikannya dengan seekor kibasy. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam, dia berkata : Para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya, wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab dengan sabdanya maksudnya :

"Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim. Mereka bertanya lagi : Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka bertanya lagi : Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya".

Kedua : Melatih dan membentuk kaum Muslimin supaya sanggup berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Allah demi kepentingan orang lain.

Ketiga : Memupuk sikap pemeduliaan dan prihatin terhadap masyarakat iaitu dengan mengagihkan sebahagian daging korban itu sebagai makanan atau meluaskan rezeki orang-orang fakir miskin sempena Hari Raya Aidiladha.

Keempat : Menyemai dan menanamkan sifat terpuji dan nilai-nilai murni ke dalam diri dengan meneladani kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihissalam dan sifat keduanya yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Memandangkan ibadah korban itu mempunyai hikmah dan kelebihan yang amat banyak, maka sudah sewajarnyalah kita merebut peluang ini dengan melakukan korban pada hari raya haji dan tiga hari selepasnya (hari tasyrik). Sama-samalah kita berdoa semoga dimurahkan rezeki dan dapat melakukan ibadah korban.
Mudah-mudahan segala amal kebajikan yang kita lakukan di atas dasar keikhlasan dan keimanan itu akan diterima Allah Subhanahu Wata'ala dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda.
Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Hajj ayat 37 tafsirnya :

"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah. Tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira dengan balasan yang sebaik-baiknya kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya".

0 comments: