Assalamualaikum semua.
Hari ini saya nak bercerita pula tentang satu Majlis Berkhatan beramai-ramai yang telah berlangsung pada 5 Disember 2011 yang lalu (masa cuti akhir tahun tu). Walaupun majlis ini bukan anjuran panitia P.Islam SKBK tetapi elok juga saya ketengahkan kerana melibatkan ramai anak-anak cikgu SKBK dan juga murid-murid SKBK.
2 hari sebelum tu iaitu pada 3 dan 4 Disember beberapa orang penduduk bergotong royong membasuh rumah dan mendirikan khemah yang dipinjam daripada pihak bomba. Tanggal 5 Disember seawal jam 7.30 pagi bermulalah debaran para peserta. Sebelum dikhatankan, majlis perasmian diadakan terlebih dahulu. Doa dibacakan oleh Ustaz Sahidan dan perasmian disempurnakan oleh YB Datuk Isa Abu Kasim, ADUN Batang Kali.
Selepas itu segala keresahan dan kerisauan peserta dibasuh dengan pancutan air dari lori SYABAS. Wah... nampak keriangan mula menyerlah di wajah mereka. Anak-anak yang tak bersunatpun tumpang sekaki. Kira-kira jam 9.00 peserta pertama dan kedua (kedua-duanya anak cikgu Pian) dipanggil masuk ke bilik sunat. Terdengar sayup-sayup raungan tangisan salah seorang dari mereka. Mujur DJ hari itu memasang bacaan ayat-ayat al-Quran lebih kuat bunyinya dari bunyi orang menangis. Lebih kurang 10 minit, keluar dua orang budak tu, masuk pulak 2 orang yang lain. Begitulah seterusnya sehingga selesai tepat jam 11.00 pagi. Anak-anak, ibu bapa, Tok Mudim (dari hospital KKB) semuanya tarik nafas panjang, bersyukur majlis selesai. Alhamdulilah....