BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sambutan Maulidur Rasul 1434H

Sunday, November 29, 2009

Hikmah Ibadah Korban

Sesungguhnya ibadah korban disyariatkan oleh agama Islam bermula pada tahun kedua hijrah dan korban yang hanya dibolehkan ialah binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau, kibasy dan kambing.

Islam mensyariatkan ibadah korban itu sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala, sebagaimana yang sering kita ikrarkan dalam sembahyang : "Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk berbakti kepada Allah Subhanahu Wata'ala". Ibadah korban juga adalah sebagai melahirkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala di atas segala nikmat dan rezeki yang telah diberikan-Nya. Di antara hikmat dari pensyariatan ibadah korban itu ialah :

Pertama : Untuk mengekalkan ingatan kita kepada kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam yang sanggup menyembelih puteranya Nabi Ismail Alaihissalam sebagai korban, akan tetapi Allah menggantikannya dengan seekor kibasy. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam, dia berkata : Para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya, wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab dengan sabdanya maksudnya :

"Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim. Mereka bertanya lagi : Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka bertanya lagi : Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya".

Kedua : Melatih dan membentuk kaum Muslimin supaya sanggup berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Allah demi kepentingan orang lain.

Ketiga : Memupuk sikap pemeduliaan dan prihatin terhadap masyarakat iaitu dengan mengagihkan sebahagian daging korban itu sebagai makanan atau meluaskan rezeki orang-orang fakir miskin sempena Hari Raya Aidiladha.

Keempat : Menyemai dan menanamkan sifat terpuji dan nilai-nilai murni ke dalam diri dengan meneladani kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihissalam dan sifat keduanya yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Memandangkan ibadah korban itu mempunyai hikmah dan kelebihan yang amat banyak, maka sudah sewajarnyalah kita merebut peluang ini dengan melakukan korban pada hari raya haji dan tiga hari selepasnya (hari tasyrik). Sama-samalah kita berdoa semoga dimurahkan rezeki dan dapat melakukan ibadah korban.
Mudah-mudahan segala amal kebajikan yang kita lakukan di atas dasar keikhlasan dan keimanan itu akan diterima Allah Subhanahu Wata'ala dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda.
Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Hajj ayat 37 tafsirnya :

"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah. Tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira dengan balasan yang sebaik-baiknya kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya".

Thursday, November 12, 2009


Program Pemantapan Ibadah 2009, satu lagi program di bawah Panitia Pendidikan Islam SKBK telah dijalankan sepanjang bulan Oktober yang lalu. Ini merupakan program terakhir panitia di dalam tahun ini setelah beberapa program berjaya dilaksanakan sejak Januari lalu.  Program ini bertujuan untuk memantapkan lagi kemahiran dan pengetahuan ibadah di kalangan murid-murid dan warga SKBK yang lain.  Berbagai acara telah dijakankan iaitu mewarna tahun 1, menulis bacaan dalan solat dan azan untuk tahun 2 dan 3, doa selepas solat untuk tahun 4, solat Subuh individu bagi murid tahun 5, Solat Maghrib berjemaah (Muafik & Masbuk) bagi murid tahun 6 dan Transliterasi tulisan Rumi ke Tulisan Jawi bagi murid tahun 6 dan kakitangan SKBK. Kamuncak program ini ialah Penilaian Solat Maghrib berjemaah dengan penekanan kepada wuduk, azan iqamah, perlakuan solat (muafik dan masbuk), wirid dan doa oleh murid-murid tahun 6. Mereka mewakili rumah masing-masing iaitu mengikut rumah sukan.  Memandangkan ramai dari kalangan remaja hari ini yang tidak pandai solat berjemaah dengan cara yang betul (kejar imam), pihak panitia berpendapat sangat perlu didedahkan kemahiran muafik & masbuk ini kepada mereka.  Hasilnya, setelah sebulan berlatih, akhirnya seramai 60 orang murid yang terlibat sudah tahu bagaimana cara solat berjemaah dengan betul.  Penilaian di atas pentas di dalam dewan dengan disaksikan oleh murid-murid lain juga telah mendedahkan kemahiran ini kepada mereka yang tidak turut serta.




 
 





Pertandingan bilik j-QAF

Dua hari lepas (9 November 2009) bilik j-QAF SK Batang Kali telah dikunjungi oleh 3 orang pegawai dari Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Selangor.  Mereka datang dengan tujuan untuk membuat penilaian bagi pertandingan bilik j-QAF  contoh peringkat negeri Selangor.  Mereka yang diketuai oleh Ustaz Wan Yusof telah tiba di perkarangan sekolah pada jam 3.00 petang. Ketika itu semua guru dan murid telah pulang ke rumah kerana sekolah ini hanya satu sesi.  Namun begitu Guru Besar (Pn. Hjh. Sh. Noor Azilah) dengan ditemani oleh Ustaz Sahidan (Ketua Panitia P.Islam) serta beberapa orang kakitangan di pejabat sekolah dengan penuh kesudian menyambut dan memberi layanan yang terbaik. Oppp....lupa nak beritahu, sesungguhnya bilik j-QAF SK Batang Kali telah dipilih mewakili daerah Hulu Selangor ke pertandingan peringkat negeri Selangor tahun 2009 ini.  Secara keseluruhannya, mereka sangat berpuas hati dengan segala kemudahan, peralatan, rekod perjalanan aktiviti, suasana yang kondusif untk P&P dan macam-macam lagi sepertimana yang dikehendaki dalam instrumen penilaian tersebut. Tahniah diucapkan kepada semua. Menang kalah belakang kira, yang penting kita sudah lakukan yang terbaik.